Saturday, 22 October 2011

Hadis 40 Imam Nawawi

Hadis Kelima 

" Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak ', ~ diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. Dan pada riwayat yang lain oleh Imam Muslim : " Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak dari perintah kami, maka ia adalah tertolak. "

Friday, 21 October 2011

Peringatan Kepada Golongan Yang Tidak Bermazhab


Mungkin terdapat sesetengah golongan yang cetek penyelidikkan dan pengetahuannya tentang perbahasan di dalam ilmu-ilmu agama Islam berpendapat bahawa masyarakat awam pada hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan para ulama, masyarakat hanya perlu mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja secara terus. Mereka berpendapat sudah cukup dengan segulung ijazah sarjana ataupun Phd sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan para ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam. Sesiapa sahaja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar bahkan ada yang lebih dangkal lagi mengatakan seseorang itu telah sesat dan kafir. Adakah kenyataan seperti ini benar-benar ilmiah?
Apabila kenyataan seperti ini keluar dari mulut seseorang maka telah terbukti kecetekkan mereka di dalam memahami perbahasan para ulama muktabar. Mereka membayangkan bahawa para ulama mazhab terdahulu telah mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas-nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab. Sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah yang tidak diketahui kepada para ulama sesuatu yang diajar oleh agama Islam itu sendiri.
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: Ayat 43).
Berkata Imam Syatibi:
Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahid. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang bertaqlid adalah sama sahaja kerena mereka sedikitpun tidak mampu mengambil faedah daripadanya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath (mengeluarkan hukum) bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan untuk melakukan hal tersebut.
(Kitab: al-Muwafaqat).
Pujian patut diberikan terhadap usaha tegas pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyedari bahaya pemikiran alLa mazhabiyyah ini lantas mengeluarkan risalah penerangan bertajuk Bahaya Anti Mazhab. Selain itu, salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah ini secara khusus. Selain daripada Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti, masih ramai lagi ulama yang bangkit menjelaskan perkara ini melalui tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah mereka supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan ini. Pujian dan sokongan juga mesti diberikan terhadap pihak mufti-mufti negeri dan alim ulama tempatan yang sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat awam berkenaan bahayanya fahaman alLa Mazhabiyyah.
Berkata Imam Ghazali:
Bagi golongan awam adalah wajib bagi mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama.
(Kitab: al-Mustasfa).
Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja maka ketahuilah bahawa para ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kenyataan seperti ni seringkali kita dengari dari lidah-lidah mereka yang tidak memahami kedudukan khilaf mazhab di dalam Islam lantas memperkecilkan dan merendah-rendahkan para ulama muktabar terdahulu dengan anggapan para ulama terdahulu mengeluarkan hukum tanpa disandarkan secara tepat kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Mereka merasakan diri mereka terlalu hebat berbanding para ulama muktabar sedangkan asal mereka juga tidak terlepas daripada mengambil ilmu agama dari lidah-lidah dan kitab-kitab para ulama tersebut. Kita katakan kepada golongan ini: Benar, kami juga mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. secara bersungguh-sungguh, akan tetapi ikutan kami dengan kefahaman dan penerangan daripada para ulama muktabar!
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Mereka hanya berpegang dan menganggap bahawa pendapat mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil-dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sahajalah yang mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. yang merupakan sumber utama untuk mengeluarkan hukum lantas mengatakan sesiapa yang tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil-dalil. Adakah mereka juga maksum sepertimana Rasulullah S.A.W.?
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan dari Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas sahaja.
(Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).
Mendakwa boleh berijtihad oleh seseorang yang tidak berkelayakkan merupakan seburuk-buruk perkara dan kerosakkan yang paling merbahaya mengancam syariat Islam pada masa kini. Golongan ini menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahidin bahkan menganggap imam-imam tersebut sebagai penyekat dan penentang syariat Islam. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini merupakan pendukung slogan-slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram. Masyarakat yang harmoni pada suatu ketika dahulu menjadi riuh rendah dan kacau-bilau pada hari ini dengan isu-isu yang mereka bawakan ini.
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).
Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi ini sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jikalau kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun telah memiliki segulung Phd. Ini belum ditanya lagi berapa banyakkah ilmu agama yang mereka pelajari dan fahami daripada para ulama serta pelbagai persoalan lain lagi. Bagaimanakah mereka boleh mendakwa mereka begitu memahami Islam dan mengatakan pendapat mereka sahajalah yang benar sedangkan ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. belum mampu mereka kuasai sepenuhnya? Sedangkan para ulama muktabar yang telah memahami dan menguasai segala ilmu tidak merasa diri hebat bahkan merekalah yang paling merendah diri kerana takutkan Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.
(Surah Faathir: Ayat 28).
Adalah menjadi satu kesilapan besar apabila mencari hukum-hakam agama di dalam kitab-kitab matan hadis secara mentah. Seseorang yang hanya mengetahui nas-nas hadis tidak boleh berijtihad sendiriran tanpa bantuan ahli fiqh yang mahir. Sedangkan ahli fiqh ini pula terdiri daripada golongan yang mesti menguasai ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sebelum mereka layak untuk mengeluarkan hukum-hakam. Golongan yang menegah orang lain daripada mengikut mazhab dan ulama muktabar adalah pencetus kepada tertubuhnya sebuah lagi mazhab yang baru. Mazhab ini adalah mazhab yang kelima tajaan mereka diri sendiri.
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah mazhab yang kelima!
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min Murahaqah Ila al-Rusyd).
Namun Islam tidak pernah menutup terus pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang telah mencapai tahap ulama mujtahid dengan syarat-syarat yang amat ketat. Layakkah golongan tersebut mendakwa bahawa mereka mampu berijtihad sedangkan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. tidak dihafal dan difahami? Jadilah kita seorang penuntut ilmu agama dengan terus-menerus belajar bersungguh-sungguh dan ikhlas. Tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hayat. Moga-moga kita turut layak untuk menjadi salah seorang ulama pada suatu hari nanti dan bukan berlagak menjadi ulama. Wallahualam.
KESIMPULAN
Perkara ini benar-benar berlaku di Malaysia pada ketika ini. Walaupun saya berada jauh di perantauan sekarang dan kesuntukkan masa sentiasa mencemburui saya, masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Malaysia sentiasa saya ikuti melalui medium internet dan sebagainya lagi. Semoga dengan tulisan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak boleh menjelaskan kepada masyarakat berkenaan bahaya anti mazhab ini terhadap syariat Islam.
Artikel bertajuk Pemikiran Anti Mazhab Ancam Syariat Islam telah dipaparkan di ruangan Agama akhbar Berita Harian pada 5 Disember 2009. Di kesempatan yang singkat ini, saya ingin lampirkan artikel asal seperti di atas (sebelum di-edit oleh Berita Harian) bertajuk Peringatan Kepada Golongan Yang Menyeru Untuk Tidak Bermazhab.

Ciri-Ciri Ringkas Fahaman Wahabi


Dari Sudut AQIDAH:01. Gemar membahagikan-bahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan al-Asma Wa al-Sifat lantas menyamakan umat Islam kini dengan musyrikin Mekah.
02. Menyesatkan manhaj Asyairah dan Maturidiyah yang merupakan dua komponen utama dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
03. Kritikal terhadap sisitem pengajian Sifat 20.
04. Gemar membahaskan ayat-ayat mutasyabihat dan membahaskan perihal istiwa Allah Taala, tangan Allah Taala, di mana Allah Taala dan lain-lain ayat mutasyabihat lagi lantas memahami ayat-ayat itu dengan zahir ayat dan mencerca mereka yang mantakwil ayat-ayat ini. Akhirnya mereka secara tidak sedar termasuk di dalam golongan Mujassimah dan Musyabbihat.
05. Sering meletakkan isu-isu fiqh dalam bab aqidah, seperti tawasul dan istighatsah lantas mensyirikkan dan mengkafirkan amalan-amalan yang tidak sehaluan dengan mereka. Juga mensyirikkan amalan yang tidak dipersetujui contohnya mambaca salawat syifa dan tafrijiah dll.
06. Mudah melafazkan kalimah syirik dan kufur terhadap amalan yang mereka tidak persetujui (Khawarij Moden).
07. Amat kritikal terhadap tasawuf serta tarikat dan mengatakan bahawa tasawuf dan tarikat diambil daripada ajaran falsafah Yunan, agama Buddha dan dll.
Dari Sudut FIQH:01. Kritikal terhadap mazhab-mazhab fiqh dan menganggap sesiapa yang berpegang kepada satu mazhab adalah taksub dan jumud. Mereka akan menyarankan mengikut fiqh campuran atas corak pemahaman mereka dan menamakannya sebagai Fiqh Sunnah.
02. Membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu mujtahid, muttabi dan muqallid dan mencerca golongan muqallid. Bagi mereka hanya menyeru kepada mengikut seorang alim atau imam itu hanyalah dengan dalil walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil tersebut.
03. Gemar membangkitkan isu-isu furuk yang sudah lama diperbahaskan oleh para ulama terdahulu seperti isu tahlil, talqin, qunut subuh, zikir berjamaah, zikir dengan bilangan tertentu, lafaz niat solat, ziarah makam para nabi dan ulama, sambutan maulidur rasul dll.
04. Perkataan bidaah sentiasa diulang-ulang pada perbuatan yang mereka tidak setuju. Bidaah di dalam agama bagi mereka hanyalah sesat dan akan menjerumuskan pembuatnya ke dalam neraka. Kata-kata Imam Syatibi pada pembahagian bidaah akan mereka ulang-ulangi. Menurut fahaman mereka pembahagian ulama lain pada bidaah hanyalah bidaah dari sudut bahasa.
05. Wahabi secara umumnya mengaitkan amalan-amalan tertentu kononnya sebagai rekaan dengan hawa nafsu atau kejahilan para ulama terdahulu manakala Wahabi di Malaysia cuba mengaitkan amalan yang mereka tidak persetujui hanyalah rekaan para ulama Nusantara.
06. Hanya berpegang kepada suatu pendapat dalam hukum hakam fiqh jika mempunyai dalil yang zahir dan amat gemar meminta dalil dari al-Quran dan al-Hadis seolah-olah mereka dapat membuat perbandingan sendiri kuat lemahnya sesuatu pendapat berdasarka dalil yang dijumpai.
Dari Sudut MANHAJ:01. Berlebih-lebihan pada mengkritik mereka yang tidak sehaluan dengan mereka baik ulama terdahulu mahupun sekarang.
02. Menganggap bahawa hanya mereka sahajalah yang benar dan merekalah sahajalah pembawa manhaj salaf yang sebenar.
03. Bersikap keras kepala dan enggan menerima kebenaran walaupun dibentangkan beribu-ribu hujjah. Bagi golongan Wahabi dalil mereka yang menentang mereka semuanya lemah atau telah dijawab.
04. Amat gemar berdebat walau di kalangan masyarakat awam.
05. Terlalu fanatik kepada fahaman dan tokoh-tokoh yang mereka diiktiraf mereka seperti Muhammad Abdul Wahab, Abdul Aziz bin Baz, Nasir al-Albani, Muhammad Soleh al-Utsaimin, Soleh Fauzan dll.
06. Mudah mengatakan bahawa ulama terdahulu sebagai silap ataupun sesat dll.
07. Mendakwa mereka mengikut manhaj salafi pada urusan aqidah dan fiqh walaupun hakikatnya mereka amat jauh sekali dan tidak memahaminya.
08. Cuba untuk menyatukan semua pihak atas fahaman mereka lantas menyebabkan perpecahan umat.
09. Sebahagian mereka juga bersikap lemah lembut pada kuffar dan berkeras pada umat Islam.
10. Menyesatkan dan memfasiqkan sesiapa yang bercanggah dengan mereka serta melebelkan dengan pelbagai gelaran.
11. Seolah-olah menyamatarafkan hadis dhoif dengan hadis maudhuk lantas mendakwa mereka hanya mengikut hadis yang sahih selain kritikal terhadap penerimaan riwayat dan taasub dengan penerimaan atau penolakan Nasir al-Albani semata-mata.
12. Membuat khianat ilmiah samada pada penulisan atau pada pantahqiqan kitab-kitab lama terutamanya.
PENUTUP
Hampir keseluruhan artikel ini saya ambil dari kertas kerja yang pernah disediakan dan dibentang sendiri oleh sahabat saya iaitu Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Aljoofre. Cuma beberapa perkara sahaja saya buang dan tambah agar lebih natural untuk dibaca. Semoga penulisan ini menjawab pelbagai persoalan mengenai fahaman Wahabi ini dan ia boleh membawa manfaat kepada umat Islam sejagat. Saya doakan agar semua pihak mendapat hidayah dari Allah Taala. Aminnn.
‘Memberi dan Berbakti’
Sekian. Wallahualam.

Saturday, 1 October 2011


KELAHIRAN NABI AKHIR ZAMAN YANG UNIK


Tamadun Yahudi – Arab mulai muncul sejak kelahiran Nabi Ibrahim AS, pengasas monotheisme dan bapa bangsa Yahudi-Arab (Seyyed Hossein Nasr (2001), Muhammad, Insan Kamil, Dewan Bahasa dan Pustaka).

Manakala Tamadun Islam adalah penutup kepada ketamadunan langit yakni agama samawi dan satu-satunya diwariskan kepada Nabi Muhammad SAW, nabi dari bangsa Arab paling mulia; Quraisy. Kemunculan agama terakhir ini agak asing, terpinggir jauh dari ketamadunan sebelumnya; Penubuhan Empayar Parsi dan Empayar Rom , kelahiran dan pengangkatan Nabi Isa AS, kemusnahan tamadun Mesir Lama, kehancuran Baitul-Maqdis, kemunculan rejim Byzantine dan peperangannya dengan Empayar Parsi di Timur. Manakala di Kota Suci Mekah, ajaran Hanif yang mengesakan Allah SWT semakin dilupai oleh masyarakat Arab. Sekelompok pengikut yang terdiri daripada ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta masyarakat Arab tempatan masih berpegang teguh dengan ajaran Nabi Ibrahim AS. Manakala sebahagian besar masyarakat Arab (jahiliah) menjadikan berhala sebagai perantaraan ibadah dan pusatnya adalah Kaabah. Di situlah, Allah SWT memulihkan kembali keinsanan manusia dengan perutusan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Pemuda dari keturunan Ibrahim AS yang bergenerasi menerima warisan pengurus Kaabah, penjaga dan pembahagi Air Zam-Zam. Dialah pembawa Agama Islam yang menggulung serta melengkapi seluruh tamadun sebelumnya.


Indahnya molekul air zam-zam




Kemudahan air zam-zam di Masjidil Haram
dan di Masjidin Nabawi


Tidaklah mudah bagi bangsa yang sebelumnya gemilang serta disebut bangsa yang kuat, dihormati dan paling penting, menerima pengiktirafan Allah SWT melalui wahyu Injil (Masihi) dan Taurat (Yahudi) secara tiba-tiba seperti dipaksakan untuk menerima nabi baru daripada kalangan bangsa yang tidak dikenali. Berbanding Arab, Yahudi dan Masihi telah membariskan para rasul yang ramai antaranya Nabi Yahya a.s, Zakaria a.s, Sulaiman a.s, Ya’kub a.s, Yusuf a.s, Ibrahim AS, Ishak AS, Musa AS dan Isa AS. Walaupun mempunyai sejarah hitam dan ternoda iaitu bangsa yang diklasifikasikan Allah SWT sebagai bangsa yang sombong dan degil serta membunuh para nabi, mereka berbangga akan kelebihan akal fikiran dan fizikal yang baik berbanding manusia lain di dunia. Mereka malu untuk menerima kenyataan bahawa nabi selepas Isa AS adalah dari bangsa yang berbeza. Justeru, penyelewengan terhadap kitab-kitabNya dilakukan dengan misinya; penafian Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Siapa yang dapat menyembunyikan kebenaran jika Allah SWT, Pencipta seluruh makhluk Menginginkan? Nabi Muhammad SAW dicipta sebagai pelengkap nabi-nabi kerana baginda SAW adalah Habibullah yang paling dicintaiNya. Dalam hadis Qudsi bermaksud: Allah berfirman, mafhumnya "wahai Adam, jika tidak kerana Muhammad, tidak-Ku jadikan engkau atau langit dan bumi"Penghormatan ini adalah paling agung menunjukkan tidak ada seluruh makhluk yang diciptakan Allah melainkan kehendak Allah SWT menjadikan Muhammad SAW sebagai KekasihNya. Kedudukan Nabi Muhammad SAW paling tinggi di sisi Allah SWT melebihi para nabi dan manusia lain.




Firman Allah yang mafhumnya:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat Nya berselawat kepada Nabi (Nabi Muhammad SAW), Wahai orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya"
(Surah Al-Ahzab:56)".

Orang-orang Yahudi, Nasrani dan Kristian tidak senang dengan kenyataan ini. Begitu juga orang munafik yang mempunyai penyakit di hati, tidak mudah tunduk pada kenyataan agungnya insan bernama Muhammad bin Abdullah. Namun, Allah Yang Maha Berkehendak mengasuh nabi akhir zaman dengan pendidikan khusus seterusnya menggoncangkan dunia kesesatan yang dimonopoli bangsa Yahudi dan juak-juaknya.



(Rasulullah dikatakan telah dilahirkan
di rumah ini,
berhadapan dengan Masjidil Haram Mekah)


Nabi Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib telah dilahirkan pada hari Isnin Subuh 12 Rabiul Awwal Tahun 53 Sebelum Hijrah bersamaan 20 April Tahun Gajah, kelahirannya bersama padamnya api sembahan Majusi serta menggegarkan Kota Makkah. Ujian pertamanya adalah baginda menjadi yatim sejak dalam kandungan ibu. Selepas itu, usia kanak-kanaknya dilewati dengan kehilangan ibu ketika usianya 6 tahun dan datuknya di usia 8 tahun. Baginda kemudian tinggal bersama bapa saudara yang mempunyai anak yang ramai lalu menawar diri berdikari, bekerja dan menjadi kepercayaan seluruh penduduk Makkah - mengembala kambing, berniaga dan berdagang.


Perniagaan kambing untuk Qurban di Mina


Graf usianya dijadualkan Allah, tidak mudah seperti manusia lain kerana membentuk pergantungannya hanya kepada Allah. Usia kanak-kanak dan remajanya adalah mengenal alam. Baginda berdagang ke negara Syam adalah untuk meluaskan pandangan, intelektualiti, pengalaman dan sensitivitinya terhadap Sang Pencipta. Aktiviti perniagaan mendekatkan baginda SAW pada tingkah-laku manusia, membentuk strategi dan hubungan awamnya dengan pelbagai manusia dari bangsa, agama, budaya, umur dan negara berbeza. Mempraktis peribadi unggulnya untuk berintegriti dengan amanah, muamalah serta mengikat hati manusia. Baginda SAW mengembala kambing bukan sekadar seekor dua, bahkan hampir seluruh penduduk Makkah menggantungkan kepercayaan kepadanya untuk mendidik kambing mereka di gurun-gurun. Peluang inilah yang membuka ruas pengetahuan baginda SAW tentang bentuk bumi Mekah, susur galur gunung, padang pasir dan gua. Manakala mengembala kambing umpama latihan untuknya bersabar melentur jiwa manusia nanti. Sesekali, baginda SAW turun membantu kaumnya berperang dan ini tentunya membentuk keberanian dan patriotik yang tinggi kepada anak muda bakal nabi ini.

Kerana banyaknya peranan yang dimainkan oleh baginda SAW sejak kecil di kalangan penduduk Mekah, maka baginda SAW begitu popular dan dihormati. Ketokohannya paling terserlah adalah menjaga amanah. Apa sahaja yang dipertanggungjawabkan baik perniagaan dan perdagangan, pengembalaan, peperangan, persaudaraan dan perkara-perkara kecil masyarakatnya, telah ditangani baginda SAW dengan penuh jujur dan terbaik. Inilah yang menggerakkan seorang wanita terhormat yang kaya - Syaidatina Khadijah bt. Khuwailid, melamarnya seterusnya menjadi sayap kiri perjuangan baginda SAW. Perkahwinan dengan Syaidatina Khadijah itu adalah pra menuju kerasulan baginda SAW. Usia 25 tahun, baginda membina keluarga, menjadi suami dan ayah serta mulai diberikan wahyu yang pertama ketika usianya 40 tahun - satu bahagian umur yang matang dan efektif untuk melaksanakan tanggungjawab.

Tribulasi mulai datang apabila baginda SAW memperluaskan dakwah Tauhid iaitu seruan pembebasan diri daripada kesyirikan, kefasikan dan kemunafikan untuk mengEsakan Allah SWT. Manusia yang bertali ego antaranya adalah golongan aristokrat Mekah, seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufyan bimbang politik mereka terancam dengan kedatangan agama baru yang bebas - bebas daripada sebarang penyembahan berhala dan nenek moyang, dan suci. Islam adalah agama logik, pemikiran yang beserta dengannya ilmu pengetahuan. Ini dibuktikan dengan penurunan Wahyu Pertama iaitu penyeruan supaya manusia membaca dan berfikir tentang asal-usul kejadian mereka (Surah Al-'Alaq, Ayat 1 - 19). Islam adalah maudhuk yang membezakan kebenaran dan kepalsuan. Tugas menyampaikan kebenaran ini tidak mudah, musuh-musuh tradisi Islam iaitu Yahudi, Nasrani, Kristian serta kalangan kafir Quraisy sendiri setiap masa mengatur strategi menggulingkan Nabi SAW beserta pengikutnya. Malahan, cita-cita mereka adalah melenyapkan Islam dari muka bumi.

Misalnya, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, umat Islam yang masih kecil bilangannya telah dipulaukan sehingga ke kemuncaknya, Rasulullah SAW sendiri diancam untuk dibunuh. Bersama Abu Bakar As-Siddiq ra., baginda Rasulullah SAW melerengi Jabal Tsur,



(Bukit Tsur)

salah satu kawasan yang jauh dari Baitullah Al-Haram dan nun di puncak (hikmah baginda SAW mengembala kambing dahulu menemukan jalan-jalan tersorok di bumi Mekah).

Di Madinah, siri penentangan terus berlaku, baik dari pihak Yahudi ataupun musyrikin Mekah. Di kalangan orang Islam terdapat kaum munafik yang melancar serangan secara diam dan licik. Baginda SAW tidak walah malahan memperkukuhkan benteng kekuatan Islam melalui kunci Akidah dan ukhwah Islamiah. Dua senjata inilah yang tidak boleh diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam walaupun tubuh dan jasad mereka dihentam senjata musuh.

Perluasan wilayah Islam terus marak dan berkembang pesat. Pada tempoh itu, sebahagian para sahabat telah gugur syahid termasuklah di awalnya, bapa saudara baginda SAW, Saidina Hamzah ra. di Medan Uhud.


(Bukit Uhud sentiasa dikunjungi )

Para sahabat berjuang untuk mati syahid, justeru tidak ada kekuatiran jika terdapat ancaman perang musuh. Rasulullah SAW menanamkan taqwa di jiwa para sahabat sehingga mereka tidak ragu-ragu menerima apa-apa yang disampaikan oleh baginda SAW serta menolak yang batil. Kesatuan umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa Ar-Rasyidin telah mengempayarkan Islam di sebahagian besar dunia menjangkaui timur dan barat. Bahkan dengan jumlah umat Islam ketika itu masih kecil berbanding orang-orang kafir serta kekuatan fizikal yang serba kekurangan. Tetapi, kekuatan sebenar dari ‘langit’ memungkinkan dakwah Rasulullah SAW berlangsungan sehingga sekarang.


(Umat Muhammad SAW sedang bertawaf)